MB T'ganu 'mengamuk' isu Pasar Payang

Hazayani Zakaria,20 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Seperti yang dijangka, isu pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang baru benar-benar menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pertama kali diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selepas usul berhubung isu tersebut ditolak Yang Dipertua Dewan Mohd Zubir Embong Selasa lalu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) mengambil peluang membangkitkannya sewaktu sesi penggulungan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, petang semalam.

Ketika Ahmad menjelaskan isu tersebut, Syed Azman bangun meminta penjelasan berhubung pemberian projek bernilai RM400 juta itu kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Saya mohon penjelasan adakah benar projek ini diberikan kepada Syarikat Gabungan Granite yang dimiliki oleh Tan Sri Datuk Abu Sahid Muhamed, Lim Chiau Woei, Law Phooi Wong dan Chan Lai Choon.

"Pasar payang ini adalah persoalan warisan Negeri Terengganu. Bukan sahaja saya yang membuat bantahan tetapi Datuk Seri Menteri Besar perlu teliti pandangan ramai (dari) dalam negeri dan luar negeri dan seorang penulis prolifik Anak Terengganu, Awang Goneng menulis dengan jelas dalam akhbar New Straits Times, kalau nak bina hotel, bina di tempat lain," kata beliau ketika bangun mencelah.

Ahmad menafikan projek tersebut mendapat bantahan ramai sebaliknya mendakwa 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi peniaga Pasar Payang supaya membantah projek tersebut.

Beliau tidak menjawab dakwaan Syed Azman berhubung pemberian projek kepada bukan anak tempatan itu.

Tidak berpuas hati, Syed Azman bangun memohon penjelasan sekali lagi.

"Saya tanya soalan yang spesifik iaitu kepada syarikat mana projek ini diberikan. Kalau saya gunakan bahasa 'jawapan bodoh' tak kena dengan dewan tapi jawapan memang jawapan bodoh," katanya.

Ahmad kemudiannya melenting dan berkata 'dah soalan bodoh, jawapan biar bodohlah. Mung (awak) mahu apa lagi?'

"RM400 juta bukan kita beri projek ini kepada kontraktor tapi kepada pemaju yang majukan. PhD apa begini tak faham?" sanggahnya lagi.

Pertikaman lidah berlarutan beberapa minit dan turut disampuk beberapa wakil BN sehingga Mohd Zubir mengarahkan mereka diam dan bertenang.

"Kalau dikatakan panas dan sesak, kenapa tak diperbaiki pasar sedia ada? Kenapa perlu dibina pasar baru sekali dengan hotel dan apartmen?" soal Syed Azman lagi.

"Baik pulih tidak memberikan erti yang besar. Kerajaan bina pasar baru untuk memberikan yang terbaik kepada peniaga dan orang ramai," jawab Ahmad. //
 

PAS, R kesal royalti tidak dibincang dalam dewan

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu kesal terhadap kegagalan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan penarikan balik saman kerajaan negeri ke atas Petronas dan Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian royalti kepada negeri ini.

Adun Chukai, Hanafiah Mat berkata, Ahmad harus menjelaskan kepada rayat sebab saman itu ditarik balik.

"Kita minta Menteri Besar jawab dalam dewan adakah kerajaan negeri tarik balik saman yang dikemukakan oleh Kerajaan PAS.

"Kalau dia tarik balik apakah perjanjian dan syarat yang menyebabkan dia tarik balik," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.

Pada 20 Mac 2012, Ahmad mengumumkan kerajaan negeri Terengganu menarik balik saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat yang dikemukakan kerajaan negeri sebelum itu.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir memansuhkan royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.

Royalti itu digantikan dengan wang ehsan dari kerajaan Pusat kepada Terengganu yang tidak lagi disalurkan kepada kerajaan negeri tetapi diberi kepada Umno atau pihak-pihak yang dikehendaki olehnya.

Tambah Hanafiah juga, Kerajaan Negeri perlu menyatakan pendirian terhadap telaga minyak di medan Bertam PM 307.

"Kalaulah isu royalti yang dituntut oleh Kerajaan Pahang diluluskan Perdana Menteri dan Pahang diberi royalti maka selepas ini Terengganu tidak akan dapat royalti.

"Jadi apa pendirian Kerajaan Terengganu dalam nak mempertahankan Bertam 307 ini," katanya yang juga Penolong Setiausaha PAS negeri.

Ahmad sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri pada Disember tahun lalu mengesahkan kawasan minyak Bertam tersebut adalah berada di kawasan perairan Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, adalah satu penghinaan kepada Sultan Terenganu apabila kedaulatannya tidak dipertahankan.

Beliau yang kecewa perkara itu tidak dibincangkan dalam dewan juga berkata, Bertam PM 307 merupakan maruah seluruh rakyat Terengganu yang mesti dipertahankan.

"Kenyataan Perdana Menteri pada tahun ini Pahang akan dapat bayaran royalti daripada Bertam PM 307. Sekali royalti diberi kepada Pahang maksudnya hak terengganu  ke atas Bertam PM 307 akan tercalar.

"Ini satu penghinaan kepada Sultan Terenganu sendiri apabila wilayahnya diserah kepada Pahang.

"Saya terkilan bagaimana Menteri Besar tak melatakkan perkara ini sebagai isu besar yang harus dibincangkan dalam dewan," katanya.

Beliau juga mendakwa Ahmad menghina sidang Dun apabila tidak meminta kelulusan Dun untuk menarik balik saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat.

"Kenapa penarikan balik saman pada Mac 2012 tidak melalui sidang dewan yang mulia?

"Kita terfikir bagaimana sebuah kerajaan boleh mengenepikan sidang dewan untuk membuat keputusan yang besar," tegasnya.
..
 

Pemuda PAS Kelantan sokong Black 505

Salmah Mat Husain,20 Jun 2013

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong Himpunan Black 505 yang akan diadakan pada 22 Jun  ini di Kuala Lumpur.
Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, ini selaras dengan pendirian PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang telah menyatakan sokongan kepada himpunan itu.

“Pemuda berpandangan  isu besar yang diangkat oleh himpunan ini ialah penipuan yang berlaku di dalam pilihanraya umum ketiga belas yang lepas.

“Ianya telah  menyaksikan BN  menang tipis ke atas Pakatan Rakyat. Antara isu yang besar ialah kegagalan pelaksanaan dakwat kekal yang diakui sendiri oleh Pengerusi SPR beberapa hari yang lepas,” ujarnya.

Katanya, Pemuda berpandangan kegagalan ini tidak boleh didiamkan sahaja.

Jelasnya, ianya perlu kepada tindakan susulan seperti siasatan bebas dan hasilnya diumumkan kepada rakyat seberapa segera.

“Begitu juga dengan pembelian undi besar-besaran di Pulau Pinang yang dipercayai melibatkan peruntukan berjuta ringgit yang didedahkan oleh  Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin beberapa hari yang lepas.

“Persoalan demi persoalan terhadap ketelusan SPR mengendalikan pilihanraya ini ditambah lagi dengan penemuan kertas-kertas undi yang telah siap ditanda di Marang,” ujarnya.

Justeru, DPPNK tegas berpandangan bahawa Himpunan Black 505 perlu disokong di atas asas membantah penipuan di dalam pilihanraya umum.

Sehubungan itu  masa yang sama, DPPNK turut mengarahkan seluruh pemuda di segenap lapisan di negeri ini untuk turun menyertai himpunan aman berkenaan.
//

 

Kerajaan T'ganu mula tunjuk politik balas dendam

Hazayani Zakaria, 16 Jun 2013 KUALA TERENGGANU: Kerajaan BN Terengganu didakwa mula mengamalkan diskriminasi terhadap penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Adun Bandar, Azan Ismail berkata, selepas beliau menang di Dun tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, beberapa pemohon bantuan kerajaan negeri dari Dun Bandar mula dinafikan hak mereka.

Menurut Azan, pihaknya mendapati lebih 200 borang permohonan Kem Bakti Remaja yang dihantar oleh pemohon dan disahkan oleh beliau ditolak.

Kem Bakti Remaja merupakan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri kepada pemohon dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM1,500.

"Malangnya perkembangan terkini mendapati permohonan mereka dari Dun Bandar ditolak kerana beranggapan mereka menyokong Pakatan Rakyat.

"Tindakan ini bercanggah dengan perlembagaan negeri dan hal-hal pentadbiran negeri tidak boleh dicampur aduk dengan hal kepartian," kata beliau pada sidang media di pejabat PKR, dekat sini hari ini.

Tegas beliau, tindakan kerajaan negeri itu jelas menganiaya rakyat dan melanggar undang-undang.

"Saya sempat bertanya kepada Adun BN selepas majlis angkat sumpah tadi dan mereka kata tidak sepatutnya berlaku sedemikian.

"Siapa yang bertanggungjawab menolak permohonan ini sedangkan borang permohonan sah walaupun ditandatangan oleh Adun PR kerana saya dipilih oleh rakyat.
 

15 Adun Pakatan Rakyat Terengganu angkat sumpah

Hazayani Zakaria,16 Jun 2013

KUALA TERENGANU:Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu iaitu 14 dari PAS dan 1 dari PKR secara rasmi mengangkat sumpah jawatan bagi mesyuarat pertama penggal ke-13 di Dewan Wisma Darul Iman hari ini.

Adun PAS yang pertama mengangkat sumpah ialah Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam) diikuti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Rhu Rendang), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Buruk), Satiful Bahari Mamat (Paka), Alias Razak (Bukit Tunggal).

Diikuti pula Adun PKR Azan Ismail (Bandar), Adun PAS, Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Mat (Cukai), Ridzuan Hashim (Teluk Pasu), Hishamuddin Abd Karim (Tepoh),  Wan Hapandi Wan Nik (Sura), Hilmi Harun (Manir).

Terakhir mengangkat sumpah ialah Alias Harun (Rantau Abang).

Majlis bermula jam 9.30 pagi dengan bacaan panggilan notis panggilan mesyuarat .

Seterusnya majlis diteruskan dengan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan iaitu Mohd Zubir Embong.

Seramai 32 Adun mengangkat sumpah hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU13) pada 5 Mei lalu BN berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan 17 kerusi Dun manakala 15 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat.//
 

Berurusan dengan bank pun nak Islamik – bekas MB

Harakahdaily, 15 Jun 2013
BUKIT GANTANG: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, jika mahu berurusan dengan bank pun mahu Islamik, begitu juga berpolitik.

"Kita hendak berurusan dengan bank-bank, sekarang ini perlu dengan bank yang ada sistem perbankan Islam.

“Kalau kita ada akaun di bank yang mengamalkan konvensional, pasti kita akan pindahkan ke bank ada ada Islamik,” katanya ketika berceramah Kampung Pauh, dekat sini malam tadi.

Justeru, ujar beliau yang telah menyertai PAS menjelang PRU13 lalu, untuk berpolitik juga perlu berpindah.

"Sama juga kita berpolitik atau berparti, kita nak ada Islamik, Oleh itu kita perlu kena berpindah," ujarnya dipetik blog Sisi Bukit.

Bekas Naib Presiden Umno itu menambah, beliau melihat organisasi PAS boleh menegur ahli-ahli termasuk Presiden.

"Saya lihat dan kaji hanya PAS sahaja yang ada semua ini. Lihat organisasinya dari Majlis Syura yang ada ulama-ulama hebat memimpin dan mampu menegur atau menasihati ahli-ahlinya tak kecuali Presiden pun hingga ke bawah," katanya lagi.

Baginya, hanya PAS yang dapat menjaga agama Islam dan sekali gus menjamin keutuhan dan kestabilan bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.
..
 

Hot : Gosip ... Najib jumpa Anwar di Jakarta? Betulke.....


Najib, Anwar di Jakarta, terdapat spekulasi akan bertemu

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Datuk Seri Najib Razak dan musuh politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim kedua-duanya di Jakarta hari ini, terdapat kemungkinan diadakan pertemuan yang mungkin akan membantu perdana menteri mengelakkan persaingan di Parlimen dan partinya sendiri selepas keputusan buruk Pilihan Raya 2013.

The Malaysian Insider difahamkan, pertemuan itu telah cuba diaturkan semenjak sekurang-kurangnya seminggu lalu, dikala Najib hampir pasti dicabar dalam pemilihan Umno tahun ini dan berkemungkinan akan berhadapan dengan usul undi tidak percaya selepas Parlimen mula bersidang pada 24 Jun.

Difahamkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang rapat dengan kedua-dua pemimpin, telah ditugaskan untuk mengaturkan pertemuan tersebut. Beliau kini berada di Jakarta untuk lawatan dua hala.

“Pertemuan telah diaturkan dengan Najib sebelum Anwar berjumpa Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada Sabtu,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Pembantu bagi kedua-dua pemimpin tidak mahu bercakap mengenai pertemuan tersebut akan tetapi sumber mengatakan kedua-duanya mempunyai kepentingan bersama untuk mengelakkan pencabar lain untuk jawatan perdana menteri.

Tengku Razaleigh Hamzah telah bertemu dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk berbincang mengenai percubaan beliau mengambil alih kepimpinan dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi sementara timbalan kepada Najib Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menjadi pencabarnya dalam pemilihan Umno hujung tahun ini.

Kebanyakkan penganalisis politik mengatakan Najib terlalu popular, lebih dari partinya, untuk hilang jawatan dalam kerajaan dan parti.

“Akan tetapi Najib berhadapan dengan dua serangan terhadapnya, jadi dia perlu mencari sekutu,” kata sumber lain kepada The Malaysian Insider, mengatakan ironinya Anwar juga mahukan jawatan tertinggi itu.

Tidak diketahui sama ada presiden Indonesia sedar mengenai pertemuan di ibu kota negaranya akan tetapi bekas timbalan presiden Indonesia pernah menjadi pengantara kepada kedua-dua pemimpin sebelum pilihan raya 5 Mei untuk kempen pilihan raya aman.

Akan tetapi Kalla mengatakan persepakatan gagal selepas Anwar memulakan kempen di seluruh negara untuk membantah keputusan Pilihan Raya 2013. Pemimpin PKR itu mengatakan Najib tidak pernah menandatangani perjanjian itu walaupun terdapat persetujuan mulut.

Pemimpin Malaysia, terutamanya dari Umno, telah diketahui mengadakan pertemuan sulit di Jakarta - hanya mengambil masa dua jam penerbangan dari Kuala Lumpur, bagi mengelakkan publisiti dan gossip.


Twitter Anwar Ibrahim

Najib dan Anwar diketahui mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Indonesian yang mahu melihat kestabilan di negara jiran mereka Malaysia – menggajikan dua juta rakyat Indonesia dari profesional, buruh dan pembantu rumah.

Kedua-dua Anwar dan Najib merupakan sebahagian daripada Team Wawasan yang memenangi jawatan tertinggi dalam pemilihan Umno 1993, dengan Muhyiddin, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Umno memecat Anwar pada 1998 dan bekas timbalan presiden parti itu berhadapan dengan pertuduhan liwat dan rasuah di mahkamah sementara Muhammad meninggalkan parti sebelum pilihan raya bulan lalu.

Zahid pada ketika itu merupakan sekutu Anwar dan ketua Pemuda Umno yang menggunakan terma Indonesia KKN untuk korupsi, kronisme dan nepotisme dalam serangan terhadap bekas perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa perhimpunan Umno 1998.

Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sementara Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno sebulan selepas perhimpunan parti itu. ~sumber
//
 

Kenapa bangunan milik kerajaan Malaysia boleh menjadi “Menara Umno"?

Panas!! Kenapa bangunan milik kerajaan Malaysia boleh menjadi “Menara Umno"? Kenapa Tanah wakaf diwakafkan kepada wakil UMNO?

MenaraUmnoMisteri 3 kubur lama di Menara Umno Pulau Pinang
Runtuhnya antena Menara Umno Pulau Pinang adalah siri runtuhan yang melibatkan Umno sebelum ini.

Datuk Musa Sheikh Fadzir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, mengakui pejabat Umno hanya berada di tingkat enam dan tujuh bangunan tersebut tetapi tak mengakui kenapa keseluruhan bangunan tersebut menjadi Menara Umno. 

Bangunan tersebut milik JKP Sdn Bhd dan penyelenggaraannya juga berada di JKP Sdn Bhd. JKP Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 12 Julai 1995 dan dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Kenapa bangunan milik kerajaan Malaysia boleh menjadi “Menara Umno”? Kenapa JKP Sdn Bhd begitu bermurah hati menamakannya Menara Umno?

Persoalannya juga berapa banyak bangunan kerajaan Malaysia di seluruh negara menjadi ‘hak’ Umno BN?

Juga kenapa tanah wakaf tapak menara tersebut milik umat Islam Pulau Pinang bertukar tangan?
MenaraUmno2
 MenaraUmno1
Terdapat 3 kubur lama di atas tanah tersebut. Dikatakan asalnya tapak tersebut merupakan tanah wakaf dan mungkin 3 kubur lama di tanah tersebut adalah kubur mereka yang mewakafkannya.

Tanah wakaf ini akhirnya diwakafkan kepada wakil UMNO. Tanah wakaf ini akhirnya telah disita dan diletakkan di bawah MAIPP pada tahun 1973 akibat kegagalan pihak bertanggungjawab menjelaskan cukai tanah dan pintu yang berjumlah lebih kurang RM 14000.00.

Akhirnya, menara ini telah dibina pada tahun 1995 dan siap pada 1998 dengan ketinggian lebih kurang 93.6 m. Keistimewaannya pada bahagian atas menara ini mempunyai “sayap berdinding” yang boleh dilaraskan untuk mengawal pergerakkan angin.Rujuk Relaxjom

Nampaknya di bawah BN sebelum ini, tanah wakaf juga boleh bertukar tangan. Ada yang berkata selepas Umno runtuh di Pulau Pinang, menaranya pula yang menyusul!! //

 

UMNO, BN ingat RUNTUH...

Photo: 5 tahun.. buat lah BN apa saja. "tipu penurunan harga kereta" " perbangunanan hanya kawasan bn menang" " charge RM0.70 setiap bil SATU jika byr pjbt POS" " rumah kos/pprt hanya di kawasan BN menang" " bina bangunan kerajaan berkualiti rendah sehingga boleh runtuh"... sekat perbinaan kolej/maahad islam tapi galak bina pusat hiburan -  PRU14 Rakyat akan buat penilaian SEMULA

 

Dewan Ulamak PAS gesa MB Terengganu berlaku adil

Harakahdaily,12 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat berharap Menteri Besar dan para Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang baru dilantik menjadi pemimpin kepada semua rakyat di negeri ini, tanpa mengira parti sama ada Barisan Nasional atau pun PAS dan Pakatan Rakyat.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Aman Razali (gambar) mengucapkan tahniah kepada Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said kerana dilantik semula menjadi Menteri Bear bagi penggal kedua.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Seri Ahmad Said atas pelantikan semula beliau sebagai Menteri Besar negeri Terengganu. Begitu juga ucapan tahniah kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang terpilih dan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu,

"Doa saya agar mereka semua menjadi Menteri Besar dan Exco untuk semua rakyat, kerana kita perlu pergi ke arah politik matang," ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar dan Exco Kerajaan Terengganu yang telah diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau menegaskan, berasaskan prinsip perlembagaan negara setiap rakyat berhak memilih parti yang mereka mahu dalam pilihan raya dan kerajaan yang memerintah adalah milik seluruh rakyat negeri Terengganu.

Maka, katanya, mudah-mudahan mereka menjadi pemimpin yang adil sebagaimana seperti kata Nabi SAW yang bermaksud 'antara yang diberi naungan di padang Mahsyar nanti adalah seorang pemerintah yang adil'.
..

 

Lima kemaksiatan yang disegerakan balasannya

Detik Islam,     13 Jun 2013

Menghampiri akhir zaman, semua jenis kemaksiatan sudah dilakukan oleh semua umat manusia. Namun, ada sebuah hadis yang menyatakan bahawa ada beberapa jenis maksiat yang akan disegerakan balasannya dari maksiat itu.

Dari Ibnu Umar RA ia berkata: Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam mendatangi kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda,' "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah subhanahu wa Ta'ala, semoga kamu tidak menemui zaman itu. Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak nampak perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Tha'un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pemah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan / ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka

3. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

4. Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur'an dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri. " (HR Ibnu Majah)

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:
1. Penyakit Taun (berjangkit seperti kolera dan Aids) adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan.

3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat.

4. Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

5. Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta'ala dan tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

http://trgdaily.blogspot.com..

 

Bekas Adun dilantik Speaker Dun Kelantan

Aslani M,13 Jun 2013

KOTA BHARU: Bekas Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya’kub (gambar) hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang baru.

Manakala Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman pula dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Nama kedua-duanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, kemudian disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Majlis angkat sumpah itu bermula jam 9 pagi dengan bacaan doa diketuai Setiausaha Dewan, Muhammed Imran Mansoor.

Kemudian Abdullah mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai anggota tambahan Dun Kelantan.

Beliau kemudian mengambil tempat di kerusi Speaker selepas dipakai jubah khas dan songkok oleh Menteri Besar.

Diikuti pula Abdul Latiff mengangkat sumpah dan dipakai jubah khas sebagai Timbalan Speaker.

Imran turut memberitahu pihaknya sebelum ini telah menerima perakuan untuk berkhidmat sebagai Speaker daripada Abdullah.

“Cadangan perbahasan pemilihan Speaker juga tidak dibenarkan selepas pihak Dewan hanya menerima seorang sahaja calon,” katanya.

Selepas itu majlis angkat sumpah ahli-ahli Dewan dimulakan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PAS-Chempaka) mendahului mengangkat sumpah bagi penyokong kerajaan, manakala Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) pembangkang.

Zulkifli Ali (BN-Selising) merupakan ahli Dewan terakhir mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun sebelum itu Speaker mengumumkan tiga ahli Dewan tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mereka iaitu Datuk Husam Musa (PAS-Salor), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Wakaf Bharu) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas).

Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri di atas penghormatan diberi sehingga dilantik sebagai Speaker.

“Oleh itu saya berharap mendapat kerjasama sepenuh ahli-ahli Dewan bagi melancarkan perjalanan persidangan setiap kali diadakan,” katanya.

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.//

 

Parlimen ke-13 perlu lantik Speaker berkecuali

Harakahdaily,13 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Tugas pertama Parlimen ketiga Belas yang akan bermula 24 Jun ini adalah memilih Speaker yang bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan politik.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, speaker baru Dewan Rakyat perlu mendapat kepercayaan dan dihormati oleh semua Ahli Parlimen, selain mampu menangani kedua-dua pakatan pemerintah dan pembangkang secara saksama dan tidak berpihak.

Menurutnya, di negara-negara yang mengamalkan demokrasi ala Westminster seperti Kanada, India, dan sebagainya, Perdana Menteri biasanya akan meminta pandangan Pembangkang sebelum memilih Speaker dan mengemukakan kepada Parlimen calon yang paling boleh diterima oleh semua pihak bagi menghindari pungutan suara dan pertikaian di awal sesi parlimen.

"Speaker Parlimen UK misalnya memutuskan hubungan dengan parti politiknya. Malah, di negara itu speaker tidak dipilih menurut garis parti.

"Speaker Parlimen UK sekarang, John Bercow, adalah anggota parti Konservatif tetapi beliau memainkan peranan sebagai speaker sejak Julai 2009, ketika Parti Buruh masih menguasai kerajaan," katanya.

Malaysia pula ujarnya sangat unik kerana Parlimen membolehkan seseorang yang bukan-Ahli Parlimen dipilih sebagai Speaker.

Langkah ini ujarnya boleh dicontohi di negara ini dengan melantik seorang tokoh yang dihormati oleh kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, tidak semestinya seorang ahli parlimen Umno.

"Perdana Menteri perlu segera memulakan langkah untuk mendapatkan pandangan dan berunding dengan Pakatan Rakyat.

"Jika langkah ini tidak diambil, sekiranya pungutan suara diperlukan, ia perlu dijalankan secara rahsia bagi memastikan kedudukan Speaker sebagai pihak berkecuali," katanya.

Pakatan Rakyat (PR) semalam sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

 

Petisyen PRU13: Pakatan Rakyat 39, BN 21

KUALA LUMPUR: Petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang tempohnya berakhir semalam, menyaksikan sejumlah 60 petisyen difailkan sekaligus menjadi jumlah paling banyak dalam sejarah petisyen pilihan raya di negara ini.

Apa yang menarik, tindakan memfaikan petisyen yang biasanya hanya sinonim dengan pihak pembangkang, kali ini juga turut dikemukakan oleh BN.

Daripada jumlah keseluruhan 60 petisyen itu, 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi Pakatan Rakyat, 39 petisyen tersebut adalah membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 Dun.

Di Kedah, kawasan parlimen yang terbabit dengan petisyen adalah Merbok dan Kulim Bandar Baru yang dikemukakan oleh PKR, manakala tiada bagi kerusi Dun.

Di Kelantan perlimen terlibat adalah Ketereh yang dikemukakan oleh PAS, Machang (PKR), Bachok (BN), manakala bagi Dun pula, Kok Lanas (PAS), Selinsing (PAS), Ayer Lanas (PAS), Jelawat (BN), Mengkebang (BN), Gaal (BN) dan Manek Urai (BN).

Di Terengganu, tiada kerusi parlimen terlibat petisyen, tetapi kerusi Dun adalah Hulu Besut (PAS), Kuala Berang (PAS), Rantau Abang (BN) dan Teluk Pasu (BN).

Di Pahang juga tiada petisyen terlibat bagi kerusi parlimen, namun hanya satu bagi kerusi Dun iaitu Dun Cameron Highlands (DAP).

Bagi Pulau Pinang pula, parlimen terlibat adalah Balik Pulau (PKR) dan tiada petisyen bagi kerusi Dun.

Di Perak, parlimen terlibat adalah Tapah dan dua petisyen bagi Bagan Datok yang dikemukakan PKR, manakala bagi kerusi Dun adalah Selama, Rungkup, Manong, Pasir Panjang, Manjoi dan Lubok Merbau yang kesemuanya dikemukakan oleh PAS.

Bagi negeri Selangor, tiga kawasan parlimen terlibat iaitu Sabak Bernam (PKR), Sungai Besar (PAS), Kuala Selangor (PAS) manakala tiada petisyen bagi kawasan Dun.

Bagi Kuala Lumpur, parlimen terlibat adalah Setiawangsa (PKR), Titiwangsa (PAS), Lembah Pantai (BN) dan Parlimen Batu (BN).

Di Melaka, tiada petisyen yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat, manakala BN memfailkan dua petisyen iaitu bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru.

Bagi negeri Johor, parlimen terlibat adalah Pulai (PAS), Segamat (PKR), Ledang (PKR), Muar (PKR), Tebrau (PKR), Pasir Gudang (PKR), Labis (DAP), Batu Pahat (BN) manakala bagi Dun adalah Gambir (PAS), Mahkota (PAS), Nusajaya (PAS), Penggaram (BN), Parit Yani (BN), Stulang (BN) dan Puteri Wangsa (BN).

Di Sabah, parlimen terlibat adalah Kota Marudu (PKR), Beaufort (PKR) dan Pensiangan (PKR), manakala bagi Sarawak adalah parlimen Baram (PKR) dan Sarikei (BN).

Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, jika terdapat mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan pilihan raya umum lalu, mereka boleh mengemukakan petisyen pilihan raya kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) pula memperuntuk tiap-tiap petisyen pilihan raya hendaklah dikemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan dan penyata pengundian disiarkan dalam warta.

Tempoh 21 hari itu dianggap bermula pada 23 Mei lalu dan berakhir semalam.

http://trgdaily.blogspot.com/

 

Bumbung masjid di Terengganu runtuh lagi

Buletin Online, 21 Mei 2013


HULU TERENGGANU: Tiada hujan dan tiada ribut yang melanda, tiba-tiba Masjid Kampung Binjai Kertas yang terletak di jalan Manir ke Kuala Berang yang siap dibina pada tahun 2007 telah runtuh sebahagian bumbungnya, seusai jamaah menunaikan solat Isyak, malam tadi.

Menurut saksi kejadian, dua keping atap masjid tersebut telah luruh, sekali sejurus selesai para jamaah menunaikan solat Maghrib dan sekali lagi ketika waktu hampir solat Isyak, sebelum ia runtuh sepenuhnya.
"Selepas solat sunat Isyak tu, ada jatuh sekali (lagi) gummm...jatuh, selepas (kira-kira) dalam masa empat saat atau lima saat saat, brummmmm...selalu, sekejap saja dalam masa (lebih kurang) dua.....tiga minit habis (runtuh semuanya).

"Bahagian beranda...kira-kira bukan ruang solat...bahagian luar yang tak ada karpet," jelasnya yang tidak mahu dikenali.

Katanya, nasib baik kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian runtuh tersebut kerana ada dua orang ahli jamaah masjid yang keluar dari masjid beberapa ketika sebelum ia runtuh.

Manakala, kata beliau, ada seorang tua yang hampir-hampir ditimpa runtuhan itu apabila kejadian runtuh itu berlaku ketika beliau sampai di pintu masjid dan berundur semula apabila bumbung tersebut runtuh keseluruhannya.

Sehubungan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid ketika ditemui berkata, beliau sangat terkejut apabila mendengar kejadian runtuh itu.

Beliau yang bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat khabar melahirkan rasa sangat dukacitanya kerana kejadian itu berlaku di tempat awam, lebih-lebih lagi melibatkan masjid yang menjadi tempat ibadat orang Islam.

"Saya rasa sangat terkejut dan sangat dukacita atas apa yang berlaku ini kerana ia melibatkan tempat kepentingan awam, lebih-lebih lagi melibatkan tempat ibadat orang Islam.

"Sepatutnya tempat ini diberi keutamaan supaya perkara-perkara seperti ini tidak berlaku," ujarnya yang juga Setiausaha PAS Hulu Terengganu.

 

Ahmad Said memalukan rakyat Terengganu lagi

Muhammad Hanif Ali,

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Said setelah sahaja selesai majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar mungkin mengejutkan banyak pihak. Ia nampak angkuh dan meroyan tak sedarkan diri. Tetapi ia mungkin sesuatu perkara yang biasa bagi rakyat Terengganu sentiasa mengikuti perkembangan serta kenyataan MB Terengganu tersebut.
"Development will continue as promised, nonetheless construction of affordable houses will not be built in the state constituencies we lost, we will build in the areas won by BN,"-Bernama

Ia kenyataan politik berbaur provokasi dan sombong malah tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar MB. Tugas yang sepatutnya memastikan urus tadbir kerajaan negeri berjalan lancar dan kesemua rakyat dapat menikmati keharmonian secara bersama bertukar kepada kerelaan untuk rakyat membenci kerajaan dan bersedia menghadapi kejatuhan kerajaan yang hanya mendapat majoriti dua kerusi itu.

Jauh sekali berbeza dengan sikap serta kenyataan yang dikeluarkan oleh MP Kuala Nerus, YB Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS). Beliau mengucapkan tahniah kepada MB Terengganu yang selamat mengangkat sumpah serta mengajak seluruh wakil rakyat di negeri tersebut menunaikan amanah kepada seluruh rakyat tanpa mengira parti.

Dengan keyataan Datuk Seri Ahmad Said itu, dalam tidak sedar itu telah melukakan hati mereka yang setia bersama BN dan berada di kawasan yang dimenangi PAS. Seramai 139,729 orang! ‘Berita gembira’ pula untuk penyokong PAS yang berada di kawasan yang dimenangi BN seramai 111,630 orang.

Beliau jelas masih gagal untuk memahami perbezaan antara tugas kerajaan dan tugas parti. Sikap susah faham atau malas nak cuba faham ini mungkin boleh diterima jika ia datang dari seoarang pentaasub parti, tetapi ia sangat memalukan apabila keluar dari mulut seorang MB.

Hakikat sebuah parti politik hanyalah satu badan mereka yang bersatu untuk bersama membina kepentingan negara melalui prinsip-prinsip tertentu yang telah dipersetujui secara kolektif. Kerajaan yang dibentuk pula menyediakan kemudahan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Ianya dengan seruan Islam yang mewajibkan pemerintah paling tidak menyediakan tiga keperluan asas untuk rakyat iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Keengganan beliau untuk meneruskan pembinaan rumah mampu milik di kawasan yang tidak dimenangi oleh BN jelas menunjukkan bahawa beliau gagal memahami konsep KEADILAN yang merupakan tema paling utama di dalam Al-Quran. Saya merasakan sangat elok jika para ‘alim ulama dan NGO yang komited membela ‘Melayu Islam’ mengadakan talaqqi (pengajian) khusus untuk Datuk Seri MB berkaitan Tafsir Surah Al-Maidah, ayat 8 serta Tasir Surah An-Nisa’, ayat 58. Kalau tak faham juga, maka ia merupakan ‘zaman gelap’ untuk rakyat Terengganu, dipimpin oleh MB yang susah faham.

Bagaimana mungkin bagi rakyat di bawah dapat memenuhi semangat ‘rakyat mengasihi kerajaan’ jika pemerintah di atas sendiri yang meniupkan api kebencian dan politik balas dendam. Politik matang membentuk sistem politik dwi-parti yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang. Rakyat hanya perlu memilih antara parti yang lebih baik dan parti yang baik. Tetapi politik Datuk Seri Ahmad Said masih jauh ketinggalan di belakang yang menganggap sistem dwi-parti sebagai mekanisme balas-budi dan dendam kesumat lantas memaksa rakyat untuk membuat keputusan memilih antara parti yang bodoh sombong dan parti yang berfikiran terbuka.

Saya bahkan seluruh rakyat Terengganu sangat mengharapkan beliau  lebih berfikir secara praktikal. Politik kepartian sudah masanya untuk dihentikan. Beliau yang mewakili BN perlu melanggani konsep parti mengusai kerajaan secara lebih cermat dan teliti supaya urusan kerajaan negeri dan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.

Berhentilah dari mengeluarkan kenyataan dan melakukan tindakan yang jelas menggugat kewibawaan dan profesionalisma beliau sebagai Menteri Besar. Sikap sebegini jika diteruskan hanya menguatkan lagi semangat kem Idris Jusoh untuk mengatakan, ‘Mat Said memang tak layak jadi MB!’.
Biarlah ikhlas dalam berbakti, barulah kebencian rakyat dapat dihenti.

Rakyat Terengganu.

 

Cadangan untuk kebajikan rakyat Terengganu

Syed Abdullah Syed Osman Jamalulail, Kebajikan untuk rakyat Terengganu masih lagi tidak tertunai dan ditahap yang lama sedangkan kekayaan Negeri Terengganu Darul Iman mencurah ruah yang telah dipegang amanahkan kepada Kerajaan Terengganu.

Mungkin tersalah urus ataupun ketidak kebijaksanaan Pegawai-Pegawai yang menjaga amanah itu sendiri menyebabkan sebilangan besar rakyatnya masih tidak dapat menikmati hasil bumi Negeri Terengganu sebagaimana yang sepatutnya.

Sudah sampai masanya setiap keluarga yang menetap dan anak jati dinegeri itu yang bependapatan dibawah RM2000 sebulan diberikan imbuhan tetap sekurang-kurangnya RM500 sebulan dan bukannya hanya diberikan RM200 atau RM300 sahaja hanya apabila menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri sahaja.

Dicadangkan juga Negeri Terengganu menyediakan Hospital khas setaraf dengan Hospital Putra Jaya yang lebih selesa dan bertaraf dunia untuk anak negeri termasuk Hospital atau Institut Jantungnya sendiri dan tanpa apa-apa bayaran untuk rakyat Terengganu yang memerlukan apa juga rawatan.

Bagi setiap bayi yang baru lahir pula 'hadiahkan' susu tepung untuk bayi dan lampin selama 2 tahun dan apabila dimasukkan alam persekolahan diberikan duit belanja sebanyak RM60 sebulan setiap murid hingga tamat persekolahan menengah mereka.

Begitu juga setiap rakyat beragama islam diberikan menunaikan haji secara percuma sekali seumur hidup dan juga setiap warga emas dan ibu tunggal diberikan imbuhan tertentu untuk menampung sia-sisa kehidupan mereka itu.Perkhidmatan awam saperti bas didalam kawasan bandar hendaklah diberikan secara percuma juga.

Pinjman khas untuk rakyat yang memerlukan pinjaman tertentu saperti membeli motosikal atau kereta kecil dipermudahkan tanpa dikenakan apa-apa bunga atau faedah tertentu.

Begitu juga setiap kematian ahli keluarga simati diberikan bantuan sebanyak RM3000 bagi urusan perkebumian dan lain-lain dan begitu juga bagi mereka yang hendak mendirikan rumahtangga diberikan ganjaran tertentu sebagai galakan.

Setiap   masalah sosial saperti penagihan dadah hendaklah ditangani dengan sewajarnya saperti memberikan mereka kerja yang tetap dan menjaminkan kehidupan mereka dengan syarat mereka itu tidak kembali kepada ketagihan lagi.

Ini semua tidak mustahil kita laksanakan kerana ada negara  dan diantaranya sebuah negara Islam dirantau ini yang kaya raya mengikut kaedah sebegini dan ianya berjaya dimana kerajaan negaranya bertambah makmur dan rakyatnya hidup dengan menikmati segala kemudahan dengan aman dan damai.Walaupun negara berkenaan nampak kaya dan hebat kerana bukannya pembangunan besar-besaran yang diutamakannya tetapi adalah kebajikan rakyatnya yang diberikan tumpuan sepenuhnya dahulu.


Ampangan, Seremban.
 

PENGISYTIHARAN JUMAAT DEPAN SEBAGAI HARI UNTUK SYRIA

PENGISYTIHARAN JUMAAT DEPAN SEBAGAI HARI UNTUK SYRIA ( 14.06.2013 ) | 

Di Malaysia Perarakan Menuju Ke Kedutaan Syria Di Kuala Lumpur Selepas Solat Jumaat | Jom teman-teman luangkan secebis masa kurniaan Allah untuk turun menyatakan kebencian terhadap kezaliman yang berlaku di Syria. 

Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Prof.Dr.Yusuf Al-Qardhawi dalam kenyataan media terbaru menyeru seluruh umat Islam di dunia ini menjadikan hari Jumaat depan bersamaan 14 Jun 2013 sebagai "Hari untuk Syria".

Berhimpun dan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji kemudian berarak ke kedutaan Syria. Hanya 2.6 kilometer .... 

Anda bersama kami ?

 

PAS fail petisyen untuk Kuala Selangor

(Dr Dzul bersama peguam dan pemimpin PAS kawasan Kuala Selangor di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam)

SHAH ALAM: AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad memfailkan petisyen pilihan raya untuk Parlimen Kuala Selangor jam 3.30 petang tadi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pempetisyen adalah Tuan Haji Mohd Rashid bin Mohd Khasim selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Selangor.

Mereka menamakan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Bin Ibrahim, Pegawai Pengurus PRU Kuala Selangor Puan Hajiah Noraini Binti Roslan dan  Suruhanjaya pilihanraya (SPR).

Dalam pilihan raya lepas, Dr Dzulkefly kalah kepada Irmohizam dengan majoriti 460 undi.

Dr Dzul mendapat 27,040 manakala Irmohizam 27,500 undi. Jumlah keluar mengundi adalah 89.20 peratus dengan undi rosak sebanyak 934 undi.

Semalam PAS telah memfailkan dua petisyen di Terengganu iaitu Dun Kual Brang dan Hulu Besut.

http://trgdaily.blogspot.com..

 

Himpunan #Black505 ditunda ke 22 Jun

Muhammad Faizal,10 Jun 2013
PETALING JAYA: Perhimpunan Aman #Blackout505 yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 15 Jun di Padang Merbok, Kuala Lumpur, ditunda kepada tarikh 22 Jun depan.

Pengumuman terkini himpunan itu dibuat Ketua Pasukan #SiasatPRU13 Rafizi Ramli pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Menurut Rafizi, penundaan tarikh ini diputuskan setelah mengambil kira rayuan pihak-pihak tertentu yang mempunyai perancangan di Padang Merbok pada 15 Jun nanti.

"Permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun telah pun dibuat pada hari Jumaat, 7 Jun lepas iaitu dua hari selepas permohonan pertama dibuat.

"DBKL yang sebelum ini telah mengesahkan bahawa semasa permohonan dibuat pada 7 Jun, tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan acara di Padang Merbok pada 22 Jun nanti," jelasnya.

Tambahnya, atas alasan yang diberikan DBKL maka tidak ada sebab untuk mereka melengah-lengahkan permohonan yang telah dihantar bagi program himpunan pada 22 Jun nanti.

Rafizi yang turut mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa majoriti besar rakyat di Wilayah Persekutuan adalah bersama-sama Pakatan Rakyat dan atas dasar itu beliau mengharapkan Adnan perlu menghormati hasrat rakyat Wilayah Persekutuan yang mahu berhimpun secara aman di Padang Merbok.

Beliau juga memberitahu, notis kepada pihak polis akan dibuat esok di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, sepertimana yang dituntut iaitu sepuluh hari sebelum program dilakukan.

"Ini adalah ketetapan terakhir dan tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini tidak kira apa jua alasan yang diberikan oleh DBKL.

"Himpunan ini adalah kerana kita cintakan kebenaran dan menolak penipuan pilihanraya, jadi Pakatan harap rakyat akan turun beramai-ramai pada 22 Jun nanti," katanya.

 

Himpunan 'Black 505' ditunda ke 22 Jun

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Rakyat memutuskan bahawa perhimpunan yang pada asalnya dirancang untuk diadakan pada 15 Jun ditunda ke minggu seterusnya pada 22 Jun.

Dalam sidang medianya hari ini, Rafizi berkata keputusan dibuat bagi memberi ruang untuk satu majlis perkahwinan dan juga satu acara kitar semula.

Ia diputuskan setelah mengambil kira rayuan pihak yang menganjurkan acara pada 15 Jun itu, katanya.

"Selepas perbincangan dengan polis Dang Wangi, penganjur memutuskan untuk menukar tarikh perhumpunan ke minggu seterusnya, pada 22 Jun," kata dalam satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Perhimpunan berkenaan dirancang sebagai acara kemuncak untuk siri perhimpunan bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya 5 Mei.



 

10 Rancangan Kuffar Untuk Menghancurkan Islam:-

1. Melenyapkan sIstem pemerintahan Islam. 
2. Menghapuskan Al-Quran. 
3. Menghancurkan akhlak Muslim, fikiran, hubungan mereka dengan Allah dan membebaskan mereka mengikut hawa nafsu.
4. Melenyapkan kesatuan kaum Muslimin.
5. Meragukan kaum Muslimin terhadap agamanya.
6. Melemahkan bangsa Arab.
7. Mendirikan Negara diktator di dunia Islam.
8. Memisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan membiarkan mereka hancur dengan barangan Barat.
9. Menyingkirkan tokoh-tokoh Islam dan menamatkan Gerakannya.
10. Merosakkan wanita dan mengembangkan pergaulan bebas.



//

 

Elaun Yang Diterima Sultan Dan Kerabat Diraja Di Malaysia


Di Malaysia agaknya berapa perbelanjaan yang ditanggung untuk menggaji Sultan, Yang Dipertuan Agong, Sultanah dan juga kerabat Diraja Di Malaysia? Sekadar info….

Elaun untuk Agong dan Permaisuri Agong
 
Ini adalah dibawah Undang-undang Malaysia Akta 269 (Akta Peruntukan Diraja 1982) bagi bajet tahunan bagi Agong yang mana ia akan dibayar secara bulanan kepada Agong. Tahun 2006, terdapat usul kenaikan gaji Agong bersama-sama terhadap pemaisuri Agong yang mana telah diluluskan.
Jumlah sebulan Agong ialah RM87,880

  1. Privy Purse – RM608,400 (atau RM50,700 sebulan)
  2. Entertainment allowance – RM202,800 (atau RM16,900 sebulan)
  3. Istana Negara Royal Allowance – RM243,360 (atau RM20,280 sebulan)
Jumlah sebulan Pemaisuri Agong ialah RM87,880

  1. Entertainment allowance – RM36,504 (atau RM3,042 sebulan)
  2. Istana Negara Royal Allowance – RM46,800 (atau RM3,833 sebulan)
Selain daripada tu, setiap tahun Agong akan memperolehi lebih RM53 juta bagi menampung perbelanjaan istana, sambutan tetamu dan juga kos pemberian gaji kakitangan istana. Pecahan perbelanjaan di istana adalah seperti berikut :

  1. Perbelanjaan istana dan sambutan tetamu – RM52,259,100
  2. Gaji kakitangan istana – RM1,004,880
  3. Bounty Diraja, pemberian dan khidmat khas – RM50,000
Elaun untuk bekas Agong dan bekas Permaisuri Agong

Rupanya setiap bekas Agong yang mengikut giliran akan turut menerima elaun bekas Agong dan bekas pemaisuri Agong. Ini sudah tertakluk di bawah peruntukkan undang-undang-undang Malaysia Akta 270 (Akta Istana Negara Elaun-elaun Diraja 1982) pindaan 2006. Dibawah akta ni juga elaun akan dibayar kepada bekas Agong dan bekas Permaisuri Agong setiap bulan bagi tempoh seumur hidup.

Pencen khas untuk balu pemaisuri Agong

Elaun sebegini adalah pencen untuk balu Pemaisuri Agong. Contohnya jikalau kalau Agong tu mangkat semasa baginda sedang memgang tugas sebagai Agong, jadi pemaisuri Agong yang sudah menjadi balu akan turut menerima pencen seperti ini yang tertakluk di bawah Undang-undang Malaysia Akta 223 (Akta Pencen Khas Raja Permaisuri Agong 1979). Individu yang sedang memperolehi
1. Pencen seumur hidup – RM4,500 sebulan.
2. Kereta (cukai jalan dan bayaran pendaftaran percuma) atau wang pukal RM250,000 untuk kereta. Juga dapat RM2,590.87 sebulan untuk driver dan penyelenggaran kenderaan
3. Rumah Kerajaan yang akan disenggara oleh Kerajaan atau wang pukal RM750,000
Boleh dikatakan di Malaysia, kebanyakan Sultan sudah merasa menjadi Agong. Selain memperolehi elaun Sultan mereka turut menikmati elaun bekas Agong setiap bulan iaitu :
1. Elaun Diraja Istana Negara untuk bekas Agong – RM15,180 sebulan
2. Elaun Diraja Istana Negara untuk bekas Permaisuri Agong – RM4,500 sebulan
Elaun Sultan dan kerabat Diraja

Elaun untuk Sultan dan kerabat diraja di setiap negeri adalah di bawah peruntukkan negeri masing-masing. Setiap negeri ada Enakmen Peruntukan Diraja. Jumlah yang elaun Sultan Kedah ada sebanyak RM68,080 sebulan
1. Elaun Sultan – RM52,600 sebulan
2. Elaun keraian Sultan = RM15,480
Manakala jumlah yang diterima oleh Sultanah adalah sebanyak RM14,600 sebulan
1. Elaun Sultanah – RM12,000 sebulan
2. Elaun peribadi Sultanah – RM2,600 sebulan
Elaun-elaun lain yang diterima kerabat Diraja di Malaysia setiap bulan adalah seperti berikut :
  • Raja Muda – RM13,000
  • Raja Puan Muda – RM5,200
  • Tunku Bendahara – RM4,000
  • Bini Tunku Bendahara – RM1,250
  • Tunku Temenggung – RM3,500
  • Isteri Tunku Temenggung – RM900
  • Tunku Laksamana – RM3,000
  • Isteri Tunku Laksamana – RM600
  • anak-anak Sultan – RM1,000

 
SUMBER//

 

Agih kekayaan tidak seimbang punca korupsi

Harakahdaily, 08 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Agihan kekayaan yang tidak seimbang akan menjadi punca terjadinya segala jenayah berbentuk korupsi, ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Justeru, katanya di antara rezeki yang haram menurut pandangan Islam ialah rasuah, makan harta anak yatim tanpa hak, mencari rezeki dengan meminta-minta, riba, perdagangan benda yang memabukkan, perjudian, penipuan dalam timbangan, menjual barang rosak dan barang tiruan.

Beliau menjelaskan demikian dalam tulisan di Facebooknya yang bertajuk ‘Allah melaknat orang yang makan riba’ sebagaimana di bawah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya. (Riwayat: Ahmad dan Abu Daud)

Huraian hadis:

i) Mencari rezeki merupakan sebahagian daripada ibadah. Begitu juga sebaliknya. Agihan kekayaan yang tidak seimbang akan menjadi punca terjadinya segala jenayah berbentuk korupsi.

ii) Di antara rezeki yang haram menurut pandangan Islam ialah rasuah, makan harta anak yatim tanpa hak, mencari rezeki dengan meminta-minta, riba, perdagangan benda yang memabukkan, perjudian, penipuan dalam timbangan, menjual barang rosak dan barang tiruan.

iii) Riba yang dari segi istilah bermaksud az-ziadah (tambahan) iaitu tambahan di atas modal sama ada sedikit atau pun banyak (beban bunga) di mana ia adalah termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar kerana ia merupakan pemerasan orang kaya terhadap orang miskin yang membuatkan orang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah melarat.

iv) Pemakan riba akan mendapat hukuman yang berat sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: Orang memakan riba atau mengambilnya, ia tidak dapat berdiri (hidup) melainkan keadaan seperti orang yang dirasuk syaitan atau macam orang gila (kehilangan akal) al-Baqarah: 275). Dalam surah dan ayat yang sama juga selanjutnya Allah berfirman bahawa orang yang mengulangi memakan riba setelah ia mengetahui hukumnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

v) Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ditunjukkan bagaimana seorang yang berenang dalam sungai darah. Setiap kali orang berkenaan menghampiri tebing, dia telah dilontar dengan batu. Penjelasan yang diberikan oleh malaikat ialah orang ini sewaktu di dunia adalah pemakan riba.

vi) Sistem riba adalah sistem yang buruk dari segi ekonomi. Oleh itu untuk menghindari dari kemungkinan terlibat ke dalam riba yang dilarang oleh Islam, (walaupun batas-batas yang dianggap riba masih diperselisihkan di kalangan para ulama) jalan yang paling selamat adalah melakukan muamalah berdasarkan ajaran lslam sama ada secara mudharabah, musyarakah, murabahah atau wadi'ah.

vii) Riba lawannya sedekah kerana sedekah merupakan kerelaan memberikan harta benda tanpa mengharapkan imbalan dan balasan. Sedangkan riba, ia menuntut kembali wang yang dipinjamkannya bersekali dengan bunganya yang dikaut daripada penat jerih orang yang meminjamnya.

 

Like Pages

 
Copyright © 2011. Buletin Darul Iman - All Rights Reserved

Distributed By Free Blogger Templates | Lyrics | Songs.pk | Download Ringtones | HD Wallpapers For Mobile

Proudly powered by Blogger